Niat betul, baru boleh berjaya


  NIAT yang betul serta keinginan benar-benar mahu mencipta nama di negara orang adalah faktor utama menentukan hayat karier penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsuddin di luar negara.
Bekas pemain hoki negara, S Selvaraju yang mempunyai pengalaman selama 13 tahun beraksi di luar negara berkata, meskipun hoki dan bola sepak adalah dua sukan berbeza, namun asas dan objektif untuk seseorang pemain itu adalah sama apabila berhijrah ke luar negara.
"Anda perlu mempunyai cara pemikiran melangkaui segala-galanya. Anda tak boleh fikir rindukan makanan tempatan dan keluarga.
"Selepas itu nak balik Malaysia apabila sudah beberapa bulan rasa berputus asa dan mungkin juga bosan.
"Anda perlu mempunyai niat betul-betul nak capai sesuatu. Bukannya disebabkan apabila balik Malaysia nanti akan dapat publisiti dan terkenal. Anda perlu keluar daripada zon selesa," katanya.
Jelasnya lagi, pemain dari Asia perlu berusaha lebih keras apabila beraksi di Eropah kerana tanggapan yang sentiasa menganggap bahawa pemain Eropah sentiasa lebih baik berbanding Asia.
Selvaraju yang juga jurulatih kelab Hockademy ditemui pada sesi latihan mingguan program pembangunan Hockademy hari ini yang turut melakukan simbolik sempena memperingati Hari Kebangsaan esok.
Selvaraju
Selvaraju
Luqman mula menjadi tumpuan apabila mengikat kontrak lima tahun dengan kelab Belgium, KV Kortrijk sekali gus muncul pemain tempatan pertama beraksi dalam liga utama Eropah.
Pemain berusia 18 tahun itu sudah menjaringkan gol pertama ketika mewakili skuad bawah 21 tahun KV Kortrijk pada perlawanan menentang KRC Gent yang menyaksikan pasukannya tewas 1-4.
Latihan mingguan program pembangunan Hockademy simbolik sempena Hari Kebangsaan.